PEMBUANGAN BAYI

PEMBUANGAN BAYI

Wednesday, August 15, 2018

       Pendahuluan

Isu Pembuangan bayi yang semakin hari semakin banyak dilaporkan di dada akhbar dan paling menyayat hati terdapat bayi yang tidak berdosa bukan saja dibuang, malah dibakar. Menurut pandangan Anitayahya (2007), pengguguran dan pembuangan bayi membawa maksud penamatan proses kehamilan sebelum cukup bulan (sembilan bulan untuk manusia) yang mengakibatkan kemusnahan janin. Pandangan yang diberikan oleh saudari Anitayahya ini membuktikan bahawa pembuangan bayi ini merupakan satu jenayah yang boleh dianggap sebagai jenayah berat dan teruk. Selain itu, definisi dari saudari Anitayahya turut memaparkan kesan negatif kepada ibu sekiranya proses kelahiran dalam melahirkan anak tidak mengikut kaedah yang betul.
Mengikut Kamus Dewan Edisi 4, halaman 208, perkataan buang bermaksud mencampakkan, melemparkan, menghapuskan, dan menghilangkan. Perkataan bayi bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh si ibu. Manakala, makna pembuangan bayi pula adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Definisi yang ditakrifkan dalam kamus Dewan ini menjurus ke arah menerangkan makna pembuangan bayi yang lebih jelas. Maksud yang diberikan ini mampu memberi lebih kefahaman kepada pembaca untuk mengetahui lebih mendalam tentang masalah pembuangan bayi ini.
Akta yang terlibat didalam kes pembuangan bayi ialah Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) Bab 3 Kesalahan Berhubung Dengan Kesihatan Dan Kebajikan Kanak –Kanak. Seksyen 31 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. Di Malaysia, kes pembuangan bayi dilihat berlaku semakin menjadi-jadi. Dianggarkan bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan di Malaysia, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010 hingga 12/8/2010. Malah masalah ini dari hari ke hari semakin bertambah di negara tersebut. Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Faktor-Faktor Pembuangan Bayi

Pada zaman abad ke 21 ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan bersedia dalam menongkah arus pemodenan dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu terkenal di mata dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat Malaysia, iaitu masalah pembuangan bayi. Biasanya, golongan remaja yang sering terlibat dalam kes pembuangan bayi di Malaysia. Di bawah ada beberapa faktor pembuangan bayi:

·         Kurang Didikan dan Kefahaman Agama

Faktor utama berlakunya permasalahan ini ialah kurangnya didikan dan kefahaman agama. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Remaja yang melibatkan diri dalam gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah semestinya menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan meninggalkan anak mereka selepas dilahirkan. Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka. Sikap negatif mereka ini telah menimbulkan seribu tanda tanya kepada masyarakat tentang kewibawaan mereka dalam memacu Malaysia ke arah pemodenan pada masa hadapan.

·         Pengaruh Rakan Sebaya

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja berlaku. Rakan-rakan yang negatif tidak teragak-agak mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat seperti pergi ke tempat hiburan, menghisap dadah, melepak, melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.

·         Sikap Masyarakat

Di samping itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah pembuangan bayi ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang serong padanya. Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga pastinya dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Remaja perempuan berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung seorang diri tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut mengambil jalan mudah dengan membuang bayinya ekoran bimbang dipandang jijik dan hina oleh masyarakat. Jalan mudah yang diambil mereka membuktikan bahawa mereka memerlukan bimbingan dan sokongan daripada masyarakat untuk menyelesaikan masalah yang mereka alami.

·         Sikap Ingin Tahu Remaja

Faktor yang terakhir adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima mereka. Sebagi remaja yang matang, mereka mestilah berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari. Bak kata pepatah, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.


No comments:

Post a Comment